KURSUS TERNAKAN KELULUT (LAPORAN LAWATAN SELANGOR FRUIT VALLEY)
LAPORAN LAWATAN SELANGOR FRUIT VALLEY
NAMA AHLI KUMPULAN (4B)
MOHAMMAD AMIR ZIQRI BIN MOHD IDRIS (D20221102193)
TUAN ARIB AFHAM BIN TUAN YAHAMIN (D20221102185)
MOHD AIMAN HAKIM BIN AZHAR (D20221102189)
AIMAN NOOR BIN AZHAR (D20221102179)
MUHAMMAD AIMAN HAFIZY BIN CHE HASSAN (D20221102190)
Rajah 1: Gerbang Selangor Fruit Valley (SFV)
Assalammualaikum dan selamat Sejahtera, pernah dengar tentang Selangor Fruit Valley? Untuk pengetahuan anda, Selangor Fruit Valley (SFV) terletak di KM 7 Jalan Rawang-Bestari Jaya telah dibangunkan pada tahun 2003. Satu kawasan yang telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) iaitu sebuah subsidiari Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2017. Pada tahun 2010, keluasan SFV ialah lebih kurang 1,000 hektar dan Selangor Fruit Valley telah dijadikan sebagai Agropelancongan dalam sektor pelancongan. Biarpun SFV mempunyai keluasan lebih 1000 hektar, setiap pengunjung yang datang ke SFV tidak perlu risau kerana perkhidmatan tram ada disediakan yang boleh membawa anda pusing ke seluruh kawasan Selangor Fruit Valley (SFV) ini dan melawat setiap kawasan yang ada di Selangor Fruit Valley (SFV).
Rajah 2: Laman Lebah Kelulut
Selangor Fruit Valley (SFV) bukan sahaja mempunyai ladang tanaman yang banyak seperti kelapa pandan, nangka, nanas, atau jambu batu, malah SFV juga mempunyai ladang ternakan bagi pelbagai jenis haiwan yang jinak seperti arnab, ayam, hamster atau burung. Para pengunjung boleh mengambil kesempatan untuk mendekati haiwan tersebut dan menangkap gambar bersama haiwan di SFV. Ladang SFV mempunyai lebih 25 jenis tanaman dan tanaman tersebut sudah dilabelkan dengan nama dan info bagi memudahkan pengunjung mengetahui tentang jenis tanaman tersebut. Oleh itu, para pengunjung yang datang tidak akan berasa rugi jika mengunjungi SFV kerana selain tanaman yang ada haiwan ternakan juga ada di SFV dan hal ini sangat sesuai untuk dijadikan tempat bersiar-siar bagi keluarga serta anak-anak kecil yang ingin mengenali pelbagai jenis tanaman serta haiwan.
Lebah kelulut atau dikenali sebagai stingless atau lebah madu kelulut, adalah sejenis lebah yang tidak memiliki sengatan seperti lebah madu biasa. Lebah kelulut ini termasuk dalam golongan famili Apidae. Berdasarkan maklumat yang kami perolehi daripada juru pandu semasa di SFV, terdapat beberapa jenis kelulut seperti Geniotrigona thoracica, Heterotrigona itama , Lophotrigona Canifrons, kelulut dama atau dikenali sebagai Tetrigona binghami dan lain-lain. Gambar di bawah menunjukkan salah satu spesis kelulut yang terdapat di SFV yang mampu menghasilkan madu yang kaya dengan khasiat dan amat berkualiti walaupun rasanya sedikit masam. Lebah kelulut ini juga boleh menghasilkan propolis iaitu campuran serbuk yang kompleks yang terdiri daripada daun, kulit pokok, getah dan debunga yang bersifat melekit. Propolis ini juga berfungsi dalam mempertahankan sarangnya daripada ancaman dan perubahan iklim. Propolis yang dihasilkan oleh lebah kelulut ini juga membantu pembentukan corong di pintu masuk lebah.
Gambar kedua pula menunjukkan reka bentuk sarang yang terdapat di kawasan SFV. Menurut jurupandu, komponen yang terdapat dalam reka bentuk sarang ini mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri antaranya ialah penutup yang berwarna kelabu yang berbentuk bumbung rumah digunakan untuk melindung sarang kelulut daripada terkena cahaya matahari dan menghalang kemasukan air hujan yang berlebihan kerana sifat sarang kelulut ini memerlukan kawasan yang lembab dalam penghasilan madu. Selain itu juga, sarang kelulut ini diperbuat daripada kayu dan di bahagian atas sarang terdapat polisterin yang berfungsi menghalang air daripada masuk ke dalam sarang kelulut tersebut agar dapat memastikan madu kelulut boleh dituai dan tidak rosak. Polisterin ini juga bertujuan untuk menghalang musing, beruang, monyet daripada memakan madu kelulut dan memusnahkan sarang kelulut. Seterusnya ialah kegunaan jaring hitam yang terdapat di sekeliling sarang kelulut ini pula berfungsi untuk menghalang daripada serangga perosak seperti lalat, kumbang, semut dan lain-lain yang mampu merosakan koloni kelulut tersebut.
Khasiat Madu Lebah Kelulut
Penemuan madu kelulut sebagai bahan yang boleh dikomersialkan dikatakan agak baru dan pelbagai penyelidikan sedang dijalankan bagi memastikan keberkesanannya dalam perubatan serta pemakanan. Oleh hal yang demikian, kemampuan madu kelulut untuk dijadikan sebagai ubat masih dalam peringkat kajian dan pembelajaran. Namun begitu, pelbagai analisis mendapati bahawa madu kelulut mengandungi bahan seperti asid fenilpropanoik, vitamin c, mineral, glukose, polyphenol dan sumber lain yang mana penting untuk tubuh badan. Terdapat beberapa khasiat madu kelulut kepada manusia.
Menurut peladang di kawasan Selangor Fruit Valley (SFV) antara khasiat atau kebaikan madu lebah kelulut kepada manusia adalah menurunkan kandungan gula dan merawat kencing manis. Seperti yang diketahui, madu kelulut memiliki bahan yang dikenali sebagai antidiabetes. Oleh hal yang demikian, pengambilan madu ini mampu untuk menurunkan kandungan gula yang berlebihan dalam darah kerana ia meransang penghasilan hormon insulin yang berfungsi untuk memecahkan kandungan gula dalam badan dan digunakan oleh sel badan. Pada masa yang sama madu lebah kelulut juga dapat membantu untuk menyembuhkan luka. Am mengetahui bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kesembuhan luka. Hal ini kerana faktor yang membantu proses kesembuhan luka adalah seperti nutrisi, penjagaan luka, kesihatan am dan banyak faktor lain. Disebabkan itu, madu kelulut dapat membantu dengan mengurangkan keradangan, menghalang jangkitan dan juga menggalakkan pembaharuan tisu serta sel. Tambahan lagi, khasiat madu kelulut untuk kanser. Madu kelulut berupaya untuk menghalang atau mengurangkan kebarangkalian pembentukkan sel kanser. Hal ini kerana ia boleh untuk meningkatkan status antioksidan dalam badan yang mana merupakan penghalang kepada pembentukan kanser.
Gambar menunjukkan madu kelulut yang diberikan oleh peladang di SFV kepada para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam lawatan ke Selangor Fruit Valley (SFV). Madu kelulut mempunyai khasiat tersendiri berbanding dengan madu lebah lain dan apa yang menakjubkan ia dihasilkan oleh lebah yang tidak menyengat. Menurut peladang di SFV, antara perbezaan madu dengan madu lebah lain adalah kandungan nutrisi yang lebih kaya. Madu kelulut diketahui memiliki kandungan nutrisi yang lebih kaya daripada madu lebah. Madu kelulut mengandung lebih banyak senyawa bioaktif seperti flavonoid, asam amino, enzim, dan senyawa antioksidan. Kandungan ini memberikan manfaat kesihatan yang lebih banyak bagi yang mengamalkannya. Menurutnya lagi, madu lebah kelulut mempunyai aroma dan rasa yang khas kerana lebah kelulut mengumpulkan nektar dari berbagai sumber bunga liar dan tumbuhan hutan, sehingga madu kelulut memiliki aroma dan rasa yang khas dan berbeza daripada madu lebah yang lain. Sesetengah orang lebih menyukai rasa unik madu kelulut kerana lebih bervariasi. Seterusnya, permintaan pasar terhadap madu kelulut terus meningkat berbanding dengan madu yang lain kerana khasiat dan manfaat kesihatan yang dikaitkan dengan madu ini. Oleh karena itu, potensi pengembangan madu kelulut dapat membuka peluang ekonomi bagi peternak lebah kelulut berupaya untuk memasarkan madu kelulut secara efektif baik di pasaran tempatan mahupun pasaran eksport yang dapat meningkatkan pengembangan penjualan madu kelulut.
Ekonomi Yang Dijana Oleh Selangor Fruit Valley
Lebah kelulut yang menjadi tumpuan utama di Selangor Fruit Valley (SFV) membolehkan ekonomi dapat dijana oleh tempat ini. Madu lebah kelulut merupakan produk utama yang dihasilkan di sini melalui penternakan lebah kelulut yang begitu banyak. Madu kelulut yang dikumpul daripada sarangnya membolehkan tempat ini menjana pendapatan melalui penjualan pelbagai jenis madu kelulut seperti madu kelulut asli, tualang, acah, campuran herba, organik dan hutan. Madu ini dikenali dan mendapat pembelian daripada pelancong-pelancong yang tiba di sini kerana kelebihan nutrisi dan kebaikan kesihatan yang terkandung. Setiap jenis madu mempunyai harga yang berbeza-beza mengikut nutrisi yang terkandung di dalam madu itu. Perbezaan harga madu yang ditawarkan juga adalah bergantung kepada bekas yang digunakan misalnya, madu yang diisi dalam botol besar mempunyai harga yang tinggi daripada botol yang sederhana dan kecil. Madu yang dijual paling murah adalah dalam bentuk batang kecil atau "stick" iaitu dijual dengan harga RM 1 setiap satu batang madu. Selain madu, lebah kelulut juga menghasilkan produk lain seperti propolis, royal jelly, dan lilin lebah, yang juga mempunyai nilai ekonomi serta mempunyai fungsi tersendiri.
Lebah kelulut sering dianggap sebagai tarikan ekopelancongan untuk melawat kawasan yang menjadi pusat penternakan lebah kelulut. Pemilik ladang kelulut membuka ladang untuk lawatan pelancong atau menyediakan program pendidikan mengenai lebah kelulut dengan mengenakan bayaran terhadap orang yang ingin masuk ke tempat ini bagi mendapatkan keuntungan. Misalnya, Selangor Fruit Valley (SFV) yang menjadikan ladang mereka sebagai satu tarikan pelancong daripada dalam dan luar negara untuk melawat kawasan tersebut agar dapat melihat proses penternakan kelulut, penternakan haiwan lain, suasana pemandangan yang indah di atas bukit, dan menawarkan jualan berkenaan lebah kelulut seperti madu. Di samping itu, lawatan yang dilakukan dapat mendedahkan para pelancong terhadap pendidikan mengenai kepentingan dan khasiat lebah kelulut dalam ekosistem yang boleh meningkatkan kesedaran masyarakat dan turut menyumbang kepada pendapatan. Pendidikan yang didedahkan ini penting agar masyarakat dapat mempraktikkan segala perkara berkenaan lebah kelulut seperti cara pembuatan perangkap lebah kelulut dan memakan madu kelulut untuk kesihatan individu.
Kesimpulannya, kajian lapangan yang dijalankan di Selangor Fruit Valley telah menambahkan lagi ilmu berkaitan dengan penternakan lebah kelulut. Apa yang didapati ketika membuat kajian disana ialah, terdapat pelbagai jenis lebah kelulut yang ada disana dan setiap lebah menghasilkan madu yang berbeza. Madu lebah kelulut mempunyai banyak khasiatnya dimana ianya sangat memberi kesan yang baik kepada manusia dari segi dapat menjaga kesihatan kerana ianya sangat kaya dengan pelbagai vitamin. Lebah kelulut juga mampu menjana sumber kewangan dimana bukan sahaja dapat menjual hasil madu yang diperoleh daripada sarang lebah tersebut namun pengusaha madu lebah kelulut juga dapat menjual sarang atau perangkap yang dapat menjana pendapatan yang agak lumayan. Jadi trip ke Fruit Valley Selangor ini telah menambahkan lagi ilmu berkaitan dengan lebah kelulut dari pelabagi info baharu dan ianya sangat berbaloi untuk lebih-lebih lagi kepada pengusaha madu lebah kelulut untuk menimba ilmu disana.
LINK GAMBAR KUMPULAN 4B: https://drive.google.com/drive/folders/17qumLwTErbu1ff1PmVQI9nC56xGjCjEI
Comments
Post a Comment