LAPORAN LAWATAN KE SFV KUMPULAN D (6B)
Nama Ahli Kumpulan :
1. NUR IZZATI A'LIAH BINTI NORDIN (D20221102201)
2. MARIANI BINTI ROSZDI (D20221102230)
3. NUR SYAFIENA NATASHA BINTI SAMSUL (D20221102195)
4. MUHAMMAD BADRUL HISHAM BIN GHAZALI (D20211101286)
5. MUHAMMAD SYAFIQ BIN RAZALI (D20221102188)
Pada 20 Disember 2023 (Rabu), seramai 40 orang pelajar bersama seorang pensyarah kursus Penternakan Lebah Kelulut (CPE2031) kumpulan D iaitu Profesor Madya Dr. Kamarul bin telah mengikuti satu rombongan lawatan sambil belajar ke Selangor Fruit Valley atau SFV. SFV merupakan sebuah ladang buah-buahan tropika yang berkeluasan 646 hektar. Tanaman yang menjadi pilihan adalah seperti buah belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan, betik dan sebagainya. Ladang ini diwujudkan bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memodenkan sektor pertanian selaras dengan visi dan misi PKPS. Melalui pembangunan SFV ini, ia akan dapat menjadikan kawasan tersebut lebih berdaya maju serta komersil di samping menjana industri pertanian dan asas tani negeri. Terdapat pelbagai jenis ladang, taman dan aktiviti yang terdapat di dalam Selangor Fruit Valley. Antaranya ialah Herbal Garden, Orchid Garden, Ladang Pokok Getah, Traditional Selangor House, Deer Park dan banyak lagi. Malah Ladang Kelulut juga merupakan salah satu tarikan di SFV. Hal ini demikian kerana pada tahun 2018, Selangor Fruit Valley diiktiraf sebagai pengeluar madu lebah kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, lawatan sambil belajar ke Selangor Fruit Valley merupakan pilihan yang tepat kerana banyak ilmu dan maklumat berkaitan madu dan lebah kelulut di kawasan tersebut.
Rajah 1: Pelajar tiba dan bergambar di sekitar kawasan Selangor Fruit Valley
Di Selangor Fruits Valley ini terdapat beberapa jenis kelulut yang telah dipelihara oleh peladang dan mereka memulakan penternakan lebah kelulut ini dari sedikit sehingga kepada jumlah lebih banyak. Mereka telah menternak lebah kelulut pada awalnya sebanyak 50 sehingga 60 sarang sahaja. Antara jenis kelulut yang ada di ladang ini adalah trigona itama, trigona thoracica dan trigona apicalis. Di ladang ini, lebah kelulut yang paling terkenal adalah trigona itama dan trigona thoracica. Makanan lebah kelulut adalah nektar bunga yang banyak seperti kelapa dan daripada bunga-bunga yang terdapat pada pokok buah-buahan. Selain itu, lebah kelulut juga akan memakan polen. Namun ada juga kedua-dua jenis makanan ini akan dimakan oleh lebah kelulut.
Rajah 2: Menunjukkan Seekor Kelulut Mengumpul Nektar daripada Bunga
Dalam pada itu, kelulut juga mudah untuk diketahui dalam membuat sarang mahupun tidak. Hal ini kerana, kelulut yang rajin itu dapat dilihat daripada spesiesnya seperti spesies trigona itama dan trigona thoracica diketahui merupakan lebah kelulut yang sangat aktif dan rajin dalam membina sarang serta mencari makanan. Lebah kelulut yang mempunyai sumber makanan yang dekat akan merupakan faktor rajinnya kelulut tersebut dalam mencari makanan dan ini menyebabkan kelulut pekerja akan bekerja dengan lebih rajin. Tambahan pula, kemudahan dalam mencari resin dan getah pokok dalam membina sarang juga memainkan peranan penting, hal ini kerana sarang kelulut juga merupakan dari getah-getah pokok. Seterusnya, pembinaan sarang lebah kelulut juga ia bergantung kepada lokasi sarang tersebut apabila kawasan tersebut selamat maka lebah kelulut akan membina sarang jika ia adalah kawasan yang mempunyai pemangsa ini akan mengakibatkan lebah kelulut tidak membina sarang lagi.
Madu kelulut dikatakan mempunyai pelbagai khasiat dan lebih tinggi khasiatnya jika dibandingkan dengan madu lebah.Kelulut menyimpan madu di dalam tempayan kecil yang dilapisi propolis. Rasanya masam sedikit berbanding madu lebah. Lebah ini penting sebagai agen pendebungaan di hutan-hutan dan kebanyakan spesis buah, bunga, sayur dan tanaman lain. Semua kelulut membina sarang dalam sistem tertutup. Kelulut spesis Melipona dan kebanyakan spesis Trigona biasanya membuat sarang mereka di dalam geronggang tunggul kayu atau dahan pokok, dan sesetengah di dalam rongga di dalam tanah atau sarang peninggalan tikus atau sarang burung kakak tua. Spesis lain pula tinggal di dalam sarang semut atau sarang anai-anai. Kebanyakan spesis mempunyai tempat-tempat tertentu membuat sarang.
Rajah 5: Sarang lebah kelulut dalam geronggang kayu
Proses pertama bagi penghasilan madu kelulut ialah lebah kelulut akan hinggap dan 'menyedap' atau mengumpul nectar (madu bunga) daripada bunga-bunga dan juga pokok buah-buahan seperti pisang, kelapa dan banyak lagi yang berada di sekeliling lebah-lebah kelulut. Kemudian, lebah-lebah kelulut atau dikenali sebagai 'pekerja' akan mengambil madu bunga tersebut dengan mencampurkan air liur mereka bersama-sama. Bunga madu tersebut akan dibawa balik kepada sarang mereka dalam bentuk jenis sarang semut, buluh ataupun kotak empat segi buatan manusia yang dibina menggunakan bahan kayu oleh penternak lebah kelulut. Kotak kayu mempunyai tangkai untuk membantunya berdiri dan mengelakkan musuh daripada membuat serangan ke atas sarang lebah kelulut.Lebah-lebah kelulut terlebih dahulu memasuki sarang mereka melalui muncung yang dibina oleh mereka. Muncung yang dibina oleh lebah kelulut diperbuat daripada cerumen, dengan mencampur lilin lebah dihasilkan dari perut mereka dengan damar yang diambil daripada tumbuh-tumbuhan. Bentuk-bentuk muncung bergantung kepada jenis lebah kelulut. Sebagai contoh, lebah kelulut 'Heterotrigona itama' dan 'Geniotrigona thoracica' mempunyai bentuk muncung yang berbeza. Selepas memasuki muncung, lebah akan mengeluarkan madu yang di ambil dan disimpan di dalam 'pot' yang dibina di dalam sarang mereka untuk di jeruk supaya menjadi matang dalam beberapa hari. Seterusnya, 'pot' tersebut akan ditutup oleh lebah kelulut selepas isinya dipenuhi dengan madu. Walaubagaimanapun, beberapa minggu diperlukan untuk menghasilkan 'pot' madu.
Rajah 6: Corong pada sarang lebah kelulut
Terdapat empat jenis madu utama yang dihasilkan di Selangor Fruit Valley. Madu terlaris yang dijual adalah dihasilkan oleh lebah kelulut yang popular di sini iaitu madu trigona oleh lebah kelulut Itama atau juga dikenali sebagai lebah kelulut Trigona. Hal ini dikatakan demikian kerana, madu kelulut Trigona ini mempunyai rasa madu yang berlainan. Madu lebah kelulut jenis ini dikatakan mempunyai rasa yang unik dan berbeza berbanding madu lebah jenis lain. Rasanya boleh menjadi lebih masam atau mempunyai nuansa buah tertentu, bergantung kepada sumber nektar yang dikumpul oleh lebah. Seterusnya, madu trigona kaya dengan kandungan khasiat. Walaupun kandungan khasiat madu lebah kelulut boleh berbeza-beza bergantung kepada faktor seperti jenis tumbuhan sumber nektar, madu ini diketahui umum mengandungi pelbagai sebatian bioaktif dan antioksidan yang baik untuk kesihatan.
Selain itu, berbeza dengan madu biasa, madu kelulut mempunyai khasiat tersendiri dan apa yang menakjubkan ia dihasilkan oleh lebah yang tidak menyengat. Perlu untuk diketahui bahawa terdapat 80 spesies madu kelulut di Malaysia namun hanya kurang daripada 10 spesies yang boleh menghasilkan madu kerana selebihnya berfungsi sebagai ejen pendebungaan. Penemuan madu kelulut sebagai bahan yang boleh dikomersialkan dikatakan agak baru dan pelbagai penyelidikan sedang dijalankan bagi memastikan keberkesanannya dalam perubatan serta pemakanan. Oleh hal yang demikian, kemampuan madu kelulut untuk dijadikan sebagai ubat masih dalam peringkat kajian dan pembelajaran. Namun begitu, pelbagai analisis mendapati bahawa madu kelulut mengandungi bahan seperti asid fenilpropanoik, vitamin c, mineral, glukose, polyphenol dan sumber lain yang mana penting untuk tubuh badan. Antaranya ialah Menurunkan kandungan gula dan merawat kencing manis. Seperti yang diketahui, madu kelulut memiliki bahan yang dikenali sebagai antidiabetes. Oleh hal yang demikian, pengambilan madu ini mampu untuk menurunkan kandungan gula yang berlebihan dalam darah kerana ia meransang penghasilan hormon insulin yang berfungsi untuk memecahkan kandungan gula dalam badan dan digunakan oleh sel badan.
Rajah 10: Pelajar CPE2031 mencuba madu trigona
Lawatan sambil belajar di Selangor Fruit Valley telah memberi input yang banyak dan positif khususnya kepada pelajar kursus Penternakan Lebah Kelulut. Terdapat banyak ilmu dan pengetahuan baru yang dapat diperolehi melalui lawatan ini melalui temu bual bersama pekerja dan usahawan ladang kelulut. Mereka banyak membantu pelajar kursus dalam meningkatkan pemahaman mengenai lebah kelulut, sarang dan madu kelulut.
Berikut merupakan link gambar:
https://drive.google.com/drive/folders/1fzltyyuKw2tH56kdHmAt3sY3XuU3IehF?usp=sharing
Comments
Post a Comment