LAWATAN KE SFV KUMPULAN 3A

Ahli Kumpulan:
1. ERISHA ELLIA ANAK MICHAEL COLLIN (D20211099168)
2.VOOSINI A/P SARAVANAN (D20221102496)
3.SITI NURFITRI BINTI ROSMI (D20212098688)
4. INTAN NUR INSYIRAH BINTI MASAAD  (D20212098705)
5.FATIN NABILAH BINTI SHAHRIL NIZZAM (D20221103758)
6.NUR FARHANAH BINTI MOHD TAHIR (D20221103956)

Lawatan ke Selangor Fruit Valley

 

Pada 20 Desember 2023, satu lawatan ke Selangor Fruit Valley Batang Berjuntai, Selangor telah diadakan. Pelajar yang mengambil subjek kokurikulum Penternakan Lebah Kelulut (CPE2031) Kumpulan A telah berpeluang untuk melawat Selangor Fruit Valley dan melihat tanaman serta binatang yang ada di sekitar kawasan tersebut. Perjalanan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris ke Selangor Fruit Valley mengambil masa selama 49 minit dan hanya 54.7 kilometer sahaja. Kami telah diarahkan untuk berkumpul di Bitarasiswa sebelum bertolak.

            Ladang ini mempunyai keluasan 646 hektar dan ia adalah sebuah ladang buah-buahan tropika. Bukan sahaja disajikan dengan pemandangan yang indah tetapi disini juga kami dapat melihat sayur-sayuran dan juga sarang menternak lebah kelulut. Disamping itu, di dalam Selangor Fruit Valley ini juga terdapat pameran haiwan seperti burung emu, arnab, reptilia dan rusa. Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada pelajar bagaimana ladang ini menternak lebah kelulut dalam skala yang besar dan kemudian mengeluarkan produk hiliran.

 

Rajah 1.0 Ahli kumpulan

 

           

Stesen 1

Stesen pertama yang dilawati oleh ahli kumpulan ialah kilang pemprosesan madu yang terletak di bawah dewan seminar Selangor Fruit Valley. Terdapat beberapa perangkap kelulut di kawasan sekitar kilang tersebut dan ahli kumpulan sempat mengenal pasti spesies kelulut yang terdapat di kawasan tersebut. Antaranya ialah spesis kelulut Heterotrigona itama. Spesies kelulut ini berasal daripada keluarga Meliponini di mana ia merupakan lebah yang tidak bersengat dan menghasilkan madu sama seperti lebah madu. Manakala bagi Genus kelulut spesies ini ialah Heterotrigona yang menerangkan bahawa kelulut ini adalah spesies kelulut agen pendebungaan.

 

Ciri-ciri yang terdapat pada spesies ini adalah kelulut mempunyai warna sepia (merah-coklat gelap), badan yang berwarna hitam, mempunya satu gigi pada bahagian dalam rahang atau tidak bergigi, mempunyai bulu-bulu halus yang berwarna putih keperakkan dan mempunyai bulu yang berwarna hitam pada bahagian verteks. Kelulut spesies Itama ini juga mempunyai skutelum yang tidak berbulu, mempunyai abdomen yang berwarna hitam dan diselaputi bulu, bahagian depan mesotoraks dan abdomen berkilat tetapi bahagian esotoraks kurang berkilat. Ia juga turut mempunyai abdomen yang berwarna hitam dan berkilat.

 


Rajah 2.0 Ahli kumpulan mengenal pasti ciri-ciri spesies kelulut di stesen 1

 

Stesen 2

Seterusnya, kumpulan kami melawat Taman Rusa yang terletak tidak jauh daripada Taman Arnab dan Keranji Jetty. Di Taman Rusa, kumpulan kami berpeluang untuk melihat Axis Deer, burung unta dan burung emu. Anggaran Axis Deer di Taman Rusa, Selangor Fruit Valley adalah sebanyak 60 ekor. Nama saintifik bagi Axis Deer adalah Axis axis dan ia dikategorikan sebagai mamalia dalam keluarga cervidae. Terdapat beberapa ciri yang unik bagi Axis Deer ini seperti, mempunyai ketinggian dalam lingkungan 60cm hingga 150cm, mempunyai kepanjangan sebanyak 1.7m dengan ekor berukuran 200mm, berat badan dalam lingkungan 66kg hingga 113kg dan tempoh bunting dari 210 hari hingga 238 hari.

 Bukan itu sahaja, Axis Deer ini mempunyai tanduk yang lebar dan besar, dengan dahan bahagian atas yang menghala ke hadapan. Badan Axis Deer mempunyai bulu yang berwarna coklat kemerahan dan ditutupi dengan bintik-bintik putih. Menurut informasi yang terpapar di Taman Rusa, Axis Deer memakan lebih daripada 75 spesies tumbuhan beserta spektrum dipenuhi dengan bahagian tumbuhan termasuk daun, batang, buah, biji, bunga dan kulit kayu. Semasa kami melawat Taman Rusa, makanan untuk Axis Deer dijual di depan kandang Axis Deer. Makanan yang dijual adalah lobak merah dan kacang panjang dan ia berharga RM2.00 sebungkus.       

 

Selain Axis Deer, kumpulan kami juga melihat burung unta yang kandangnya terletak di depan kandang Axis Deer. Terdapat 4 hingga 5 ekor burung unta di dalam kandang tersebut. Seperti Axis Deer, burung unta juga mempunyai nama saintifik iaitu Struthio camelus. Burung unta mempunyai ciri-ciri yang tersendiri seperti, boleh mencapai ketinggian sehingga 3 meter, berat maksimum boleh dicapai sehingga 150kg dan mempunyai jangka hayat selama 50 tahun. Jantina burung unta boleh dikenal pasti dengan melihat warna bulu dan warna paruh. Burung unta yang mempunyai bulu berwarna hitam dengan paruh berwarna merah adalah jantan manakala burung unta yang mempunyai bulu berwarna kelabu dengan paruh berwarna hitam adalah betina. Burung unta dipercayai sangat sensitif, suka dibelai dan akan bertindak agresif jika berasa dirinya diganggu dengan ancaman.

 

Di sebelah kandang burung unta, terdapat kandang burung emu. Hanya dua ekor burung emu sahaja berada dalam kandang tersebut. Setelah meluangkan masa selama 1 jam, kumpulan kami meninggalkan stesen 2 dan bergerak ke stesen 3.    

 

 


Rajah 3.0 Ahli kumpulan melihat Axis Deer yang berada dalam kandang dan membaca informasi tentang Axis Deer 

Rajah 4.0 Ahli kumpulan melihat burung unta dan membaca informasi tentang burung unta

       

Rajah 5.0 Ahli kumpulan melihat burung emu

                                                                                              

Temu bual bersama penternak kelulut

Hasil daripada temu bual tersebut, kami mendapati bahawa Selangor Fruit Valley ini merupakan hak kerajaan negeri Selangor. Di sini, terdapat berbelas-belas jenis kelulut yang diternak di ladang seluas 50 ekar dan boleh dilawati dengan menggunakan kenderaan 4x4 ataupun berjalan kaki sepanjang 3 kilometer dari stesen yang ketiga. Anggaran jumlah sarang kelulut yang terdapat di Selangor Fruit Valley ini adalah beribu-ribu. Jumlah yang sebenar adalah tidak pasti  kerana terdapat penjualan sarang kelulut yang keluar masuk.

 

Madu kelulut berasal daripada nektar manakala nektar pula berasal daripada tiga benda iaitu bunga, tangkai daun dan haiwan (kumbang epik). Selain daripada nektar, penternak yang melakukan pasaran komersial akan membuat sarang madu kelulut di Pokok Akasia dan madu tersebut akan keluar melalui daun serta madu boleh dituai lapan kali setahun. Jika menggunakan pokok buah, madu yang dituai akan sedikit sahaja. Hal ini kerana jika pokok tersebut berbunga dan berbuah sekali setahun maka madu yang dihasilkan juga hanya sekali setahun bergantung kepada kewujudan bunga. Tempat sarang kelulut dibuat mestilah strategik agar madu yang dihasilkan dapat dituai selalu.

 

Kelulut menghasilkan tiga produk iaitu madu, propolis dan bee bread. 10 tahun lepas, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), mengumumkan di Malaysia terdapat 30 lebih spesis kelulut manakala baru-baru ini terdapat pengkaji yang menyatakan bahawa di Malaysia terdapat 50 lebih spesis lebah kelulut. Di stesen ketiga yang bertempat di Selangor Fruit Valley, penjual menjual madu mengikut spesis kelulut iaitu antaranya Itama dan Thoracica. Sarang lebah kelulut yang ada di sini juga menggunakan pasu.

  


Rajah 6.0 Sarang kelulut yang menggunakan pasu

 

Nama

Lebah Kelulut

Lebah Apis

Jumlah

Lebih kurang 500 sepsis di dunia

1000 spesis di dunia

Spesis di Malaysia

  1. Itama
  2. Thoracica
  1.  Apis Dorsata
  2. Apis Mellifera

Perbezaan

Menggigit tanpa meninggalkan kesan bengkak.

Menyengat serta meninggalkan kesan bengkak.

Khasiat

Madu kelulut mengandungi lebih banyak antioksida.

Hanya terdapat sikit sahaja antioksida di dalam madu.

Gula trehalulosa

Mengandungi gula trehalulosa yang tinggi.

Tiada

 

Spesis kelulut yang mengandungi gula trehalulosa yang paling tinggi di antara spesis lain adalah lebah kelulut thoracica.


Rajah Laman Lebah Kelulut

 

Secara keseluruhannya, lawatan ke Selangor Fruit Valley ini sangat bermanfaat dan menarik minat kepada para pelajar dan pengunjung. Hal ini demikian kerana para pelajar akan didedahkan kepada dunia pertanian moden dan penternakan. Selangor Fruit Valley bukan sahaja menempatkan pelbagai pokok tanaman seperti durian, jambu batu, rambutan, pulasan, nangka, mangga, ciku terdapat juga sayur-sayuran hijau, taman rusa, taman herba, taman arnab dan lebah kelulut. Tambahan menarik terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu menjadikan SFV sebagai pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia

 

Daripada lawatan ini, proses pembelajaran menjadi lebih efektif kerana kami dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana lebah kelulut menghasilkan madu dan sifat lebah kelulut itu sendiri. Lawatan ini memudahkan proses pembelajaran kerana suasananya yang berbeza daripada suasana di kelas biasa. Seterusnya, kami dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan dan bertukar pendapat mengenai sektor pertanian dan penternakan madu kelulut di dalam ahli kumpulan dan rakan-rakan lain. Pelajar juga dapat membuka mata dan minda tentang perusahaan madu kelulut dapat menjana pendapatan sampingan. Hal ini kerana madu kelulut menjadi madu yang popular kerana ia berbeza dengan madu yang dihasilkan oleh lebah madu biasa dari segi warna, rasa dan juga kepekatannya. Secara amnya, madu kelulut boleh dikenali melalui empat ciri-ciri penting iaitu warna, rasa, bau dan juga kepekatan madu berkenaan. Madu kelulut juga sering kali kelihatan berbuih. Lantaran itu, madu kelulut yang baharu dituai secara purata adalah cair berbanding dengan madu yang terdapat di pasaran.

 

Seterusnya, lawatan seperti ini harus dikekalkan dah dilaksanakan pada masa yang akan datang kerana ia memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui tentang penternakan lebah kelulut dan memberi persepktif baru di kalangan pelajar. Justeru, kami berharap pembelajaran melalui lawatan sambil belajar dapat diteruskan sebagai salah satu alternatif pembelajaran bagi kursus ini.

 

link gambar di SFV

Comments

Popular Posts